24 MAC : Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Akta Keterangan (Akta 56).
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) memaklumkan penubuhan itu selaras hasrat Kerajaan MADANI untuk memperkukuh dan memodenkan sistem perundangan jenayah negara.
Jabatan itu juga berkata jawatankuasa tersebut akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti peruntukan dalam ketiga-tiga akta itu yang sudah lapuk atau tidak lagi sesuai dengan realiti semasa sebelum dicadang pembaharuan kepada undang-undang tersebut.
Jawatankuasa itu dibarisi 25 pakar dan pengamal undang-undang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran N Paramaguru sebagai timbalan.
Penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan sistem perundangan jenayah di Malaysia kekal relevan, berkesan dan berteraskan keadilan dalam menghadapi cabaran semasa terutama berkaitan perkembangan teknologi dan perubahan sosial.
“Sistem keadilan jenayah yang kukuh dan sejajar dengan keperluan semasa amat penting dalam memastikan hak asasi individu terpelihara serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara,” menurut kenyataan itu.