25 MAC : Lebih 127,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menikmati Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar sempena Hari Polis ke-218.
Kementerian Komunikasi memaklumkan pemberian insentif itu hasil kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini untuk anggota PDRM meliputi anggota beruniform dan awam yang berkhidmat dengan pasukan tersebut.
“Anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selamat satu bulan dama ada pada April, Mei atau Jun bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.
“Manakala anggota yang melanggan pakej prabayar pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara ‘one off’ dan kaedah pemberian rebat berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Kementerian Komunikasi, insentif itu disokong syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com.
Menurut Kementerian Komunikasi lagi, insentif Rebat RAHMAH itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengiktiraf dan menghargai pengorbanan anggota PDRM atas komitmen dalam menjalankan tugas bagi menjaga kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara.
Maklumat lanjut mengenai insentif itu akan diumumkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.
Bagi senarai soalan lazim (FAQ), boleh dirujuk menerusi laman sesawang Kementerian Komunikasi pada pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.
*Foto: Facebook Jabatan Penjara Malaysia