25 MAC : Meski termaktub dalam Perlembagaan Islam itu agama Persekutuan namun ia tidak digunakan untuk menekan sesiapa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai rakyat negara ini, tanpa mengira majoriti mahu pun minoriti, semuanya tertakluk pada undang-undang.
“Islam agama Persekutuan, umat Islam adalah majoriti di negara ini tetapi kita tidak gunakan itu untuk menekan sesiapa.
“Yang majoriti (beragama Islam) dan Islam sebagai agama Persekutuan mesti ikut hukum dan undang-undang. Yang minoriti pun mesti tunduk kepada undang-undang.
“Kita tidak boleh berlaku zalim kepada majoriti dan tidak boleh membiarkan kezaliman kepada minoriti. Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai MADANI ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau memilih untuk menjelaskan mengenai isu kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India agar mesej jelas dapat diberikan.
“Saya pilih untuk menjelaskan perkara ini sebab nak berikan mesej yang jelas Majlis Agama Wilayah, syarikat pembinaan dan DBKL semua itu diminta sederhana, sopan dan bincang baik-baik dan cari jalan.
“Jawatankuasa kuil bincang dengan baik sebab kami adalah rakan dan sahabat, bukannya musuh.
“Jangan gambarkan kami zalim dan jangan dengar penghasut… ada Melayu yang beritahu apa salahnya buat masjid di tepi kuil itu.
“Arahan kita konsisten jangan sesekali ganggu dan sulitkan mana-mana mereka,” katanya.
Isu itu tercetus apabila pemilik tanah, Jakel Group dilaporkan mahu membina masjid di atas tanahnya yang dibeli daripada DBKL pada 2012 dan perbincangan sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dengan pihak kuil tersebut.
Menurut Jakel, tanah berkenaan diwakafkan pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat.
Justeru perbincangan berkait perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu berlangsung antara Jakel dengan pihak pengurusan kuil dan DBKL.
