25 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sistem Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjadi mangsa serangan siber dan digodam dengan tuntutan AS$10 juta.
Beliau memaklumkan tanpa berfikir lama terus menolak tuntutan tersebut meski akui tindakannya ada risiko.
“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan godam. Ia agak berat terhadap MAHB dalam satu atau dua hari lalu.
“Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperolehi dana 10 juta dolar atau sebagainya.
“Apabila dimaklum, saya tidak tunggu, lima saat saya terus jawab no (tidak) kepada tuntutan penjenayah tersebut,” katanya.
Namun Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan negara tidak akan selamat jika tunduk kepada tuntutan penjenayah.
“Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinannya dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ultimatum penjenayah dan pengkhianat dalam atau luar negara,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), hari ini.
Justeru itu katanya, institusi berkaitan memerlukan dana tambahan untuk mempersiapkan diri berdepan dengan segala kemungkinan.
“Ada risiko? Ya (ada risiko) dan kita harus hebahkan kepada rakyat.
“Ini juga memerlukan kecangggihan kita, dana tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara (Malaysia) dan semua untuk persiapkan tetapi itu sikap kita.
“Tapi saya lebih yakin kerana jentera itu bersama kita. Kalau tidak apa makna MADANI dengan nilai. Siapa tidak mahu kemajuan. Tapi saya nak beri ini sebagai contoh bagaimana kita nak bertindak dengan wajar dan waras,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK