25 MAC : Pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sebagai tiang seri yang mendukung keamanan dan kemakmuran negara.
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menghargai usaha PDRM dalam mengekalkan keamanan di negara ini.
“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, mari kita merenung dan menghargai pengorbanan anggota PDRM yang bertugas siang dan malam demi memastikan kita dapat beribadah dan menjalani kehidupan dengan tenang.
“Pengorbanan mereka adalah tiang seri yang mendukung keamanan dan kemakmuran negara. Sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai usaha PDRM dalam mengekalkan keamanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Polis ke-218, hari ini.
Beliau yang tidak lupa menzahirkan ucapan sempena sambutan tersebut turut mendoakan agar PDRM terus cemerlang dalam menjalankan amanah.
“Semoga PDRM terus cemerlang dalam melaksanakan amanah yang dipikul, dan negara kita terus menikmati keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.
Selamat menyambut Hari Polis ke-218 kepada seluruh warga PDRM. Kami berterima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi Malaysia yang tercinta!,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK