25 MAC : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kehadiran beliau bagi merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas pembinaan masjid di Jalan Masjid India, Khamis ini.
Menurut Anwar, program itu akan berjalan seperti dirancang meski terdapat pelbagai perbezaan pandangan berkait isu perpindahan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dibina atas tanah itu.
“Kawasan-kawasan amalan di situ…masjid-masjid berdekatan sesak. Perlu ada tempat baharu. Jadi, sebab itu saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas di masjid pada 27 hari bulan (Khamis).
“Majlis agama, syarikat binaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)…semua diminta agar bersederhana.
“Kita bincang dengan baik, cari jalan penyelesaian, kami adalah rakan dan sahabat. Jangan gambarkan kami sebagai orang yang zalim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak mendengar hasutan dan berpegang pada fakta bahawa tanah itu milik syarikat, Jakel Group.
“Dalam masa sama, jangan dengar penghasut. Ada hasutan kata, buat masjid tepi kuil, yang salah… tanah itu milik syarikat. Dan kita beri ruang untuk kuil pindah dengan baik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin politik kerajaan terdahulu agar tidak mengeruhkan lagi isu berkenaan.
“Ada juga bekas menteri yang jadi jaguh walhal kelulusan bina masjid masa mereka berkuasa, kelulusan masa 2019, bukan masa saya.
“Menteri (sekarang) dah datang berunding dua tiga kali, Datuk Bandar pun pergi tempat itu, cukuplah,” katanya.
Anwar sebelum ini sudah memaklumkan tanah berkenaan bukan milik kerajaan, sebaliknya milik syarikat swasta sejak 2012 di mana mereka mahu membangunkan masjid di atas tanah itu.
Katanya, syarikat juga menyalurkan sedikit bantuan dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mencari tapak tanah ganti bagi pemindahan kuil tersebut yang dibina tanpa mendapat kebenaran.
Terdahulu, berlaku perbincangan antaran pihak kuil, Jakel dan DBKL berkait perkara itu.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim