25 MAC : Lebih RM399 juta percubaan transaksi penipuan berjaya dihalang dalam industri perbankan pada 2024.
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan kes penipuan telekomunikasi dan e-dagang merekodkan kes paling tinggi masing-masing dengan 31.6 peratus dan 30.6 peratus.
Sementara kes pinjaman 15.4 peratus, pelaburan 13.9 peratus, cinta 3.9 peratus dan perisian hasad atau pancingan data 4.7 peratus.
“Sejak 2022, usaha bersepadu untuk memperkukuh kawalan keselamatan institusi kewangan bagi mencegah penipuan telah membuahkan hasil positif melalui pelaksanaan langkah-langkah pencegahan di semua bank, yang kini turut diperluas kepada semua pengeluar wang elektronik utama.
“Pada 2024, bilangan kes transaksi penipuan tanpa kebenaran yang melibatkan perisian hasad dan pencurian maklumat yang dilaporkan kepada BNM menurun 52 peratus, sementara industri perbankan berjaya menghalang percubaan transaksi penipuan bernilai lebih daripada RM399 juta,” kata BNM.
Dalam pada itu, BNM berkata pengguna perlu waspada dan proaktif dalam mengurangkan penipuan memandangkan lebih 95 peratus kes penipuan dalam talian di Malaysia membabitkan transaksi yang dibenarkan mangsa.
“Memandangkan corak penipuan dengan kebenaran menyerupai transaksi tulen, institusi kewangan sukar mengenal pasti dan menyekatnya tanpa menjejaskan sistem pembayaran, menjadikan pendidikan dan kesedaran pengguna sebagai pencegahan terbaik.
“Kejayaan yang lebih besar dalam mengelakkan penipuan hanya dapat dicapai jika pengguna mengambil langkah proaktif seperti tidak terpedaya dengan tawaran yang indah khabar dari rupa dan mengambil perhatian terhadap amaran penipuan daripada rakan, keluarga dan bank.
“Selain itu adalah mengamalkan langkah-langkah keselamatan siber yang baik dengan tidak berkongsi kata laluan, maklumat pengenalan peribadi dan tidak menekan pautan yang mencurigakan,” kata BNM.
Menurut BNM, usaha menangani penipuan dalam talian memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat negara dengan usaha berterusan untuk memperkukuh pencegahan penipuan, meningkatkan penguatkuasaan dan memperluaskan kesedaran pengguna.
“Pihak industri sudah pun mengambil pelbagai langkah untuk mempertingkatkan usaha semasa, termasuk mengkaji kaedah bagi mengukuhkan pencegahan penipuan dan penguatkuasaan melalui penggunaan teknologi serta perkongsian maklumat yang lebih mantap.
“Setiap pengguna memainkan peranan penting sebagai barisan pertahanan pertama dalam membanteras penipuan dengan kekal berwaspada dan proaktif, sekali gus membantu mencegah jenayah ini serta menyumbang kepada ekosistem pembayaran digital yang lebih selamat kerana hanya melalui kerjasama ini kita dapat meningkatkan daya tahan terhadap ancaman penipuan kewangan ini,” kata BNM.