26 MAC : Penjara Wilayah Narathiwat mengesahkan tujuh banduan wanita rakyat Malaysia didapati terlibat dengan kesalahan dadah.
Pakar Pengurusan Jenayah (Bahagian Wanita), Panata Yononarongdetkul berkata kesalahan yang dilakukan seperti memasukkan dadah dalam badan, memiliki atau menjadi ‘keldai dadah’bagi sindiket pengedaran.
Katanya, kebanyakan pelaku ‘gelap mata’ dengan tawaran kemewahan dan ganjaran lumayan hingga diperdaya tanpa menyedari kesilapan yang dilakukan.
“Hampir semua wanita ini masih muda, berusia dalam lingkungan 20-an. Kita berasa kasihan kerana akibat kesilapan itu, mereka akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara.
“Kami juga ingin menasihati golongan wanita agar tidak mudah terperdaya dengan habuan dan gaya hidup mewah yang ditawarkan oleh individu tertentu kerana kemungkinan besar ia adalah taktik sindiket dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam lawatan khas media Malaysia di Penjara Wilayah Narathiwat, baru-baru ini, lapor Bernama.
Menurutnya, terdapat 454 banduan wanita di penjara berkenaan termasuk tujuh wanita dari Malaysia itu.
Katanya, kesemua banduan menerima layanan sama rata kerana pengurusan penjara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa.
“Di Penjara Wilayah Narathiwat, lebih 80 peratus banduan beragama Islam dan mereka dibenarkan melaksanakan amalan keagamaan masing-masing tanpa sebarang sekatan,” katanya.