Lemah urus tadbir punca pertumbuhan ekonomi negeri pembangkang perlahan
26 MAC : Pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perlahan di empat negeri dikuasai pembangkang atau ‘State-Goverment 4’ (SG4) berpunca daripada kelemahan urus tadbirnya.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pelbagai bantuan sudah disalurkan baik dari segi dana mahu pun pembangunan infrastruktur, maka tiada alasan untuk meletakkan kesalahan itu pada Kerajaan Pusat.
“Dua hari lepas Kementerian Kewangan telah keluar kenyataan untuk salurkan bantuan khas Aidilfitri untuk penjawat awam di Terengganu.
“Beberapa minggu lepas, Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd Nassuruddin Daud) jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bantu percepatkan projek tebatan banjir yang banyak mengundang masalah.
“Kemudian kalau nak diambil kira hal peruntukan, jumlah yang kita berikan kepada keempat-empat negeri ini juga meningkat. Jadi tak timbul isu kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang ini dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri di Padang Rengas, malam tadi.
Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kurang mendapat sokongan Pusat termasuk berkaitan kemasukan pelabur meski pertumbuhan ekonomi menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata keyakinan pelabur untuk membuat pelaburan akan berkurang jika isu seperti banjir tidak diselesaikan.
“Saya ambil contoh isu banjir, ia adalah masalah besar yang membabitkan semua golongan.
“Jadi, jika perkara itu tak dapat diselesaikan bermakna keyakinan untuk pelabur itu membuat pelaburan di negeri tersebut berkurangan,” katanya.
*Foto: Facebook Syafiq Anwar Mohd Saidi