26 MAC : Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berpeluang bergerak lebih proaktif dalam memperkasa pengurusan bencana di negara-negara serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata menerusi kepengerusian ASEAN, ruang penambahbaikan terhadap pengurusan bencana negara terbuka lebih luas.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), saya turut berbangga dengan pendekatan whole-of-nation yang dizahirkan dalam semua fasa pengurusan bencana termasuk pada peringkat serantau dan antarabangsa.
“Selain negara anggota ASEAN, Malaysia turut diiktiraf International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui penghantaran Pasukan SMART ke Turkiye, penyertaan dalam rundingan dasar bencana serta latihan bersama agensi luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Ketika negara terus berdepan dengan realiti perubahan iklim dan bencana yang semakin kompleks, keutamaan Kerajaan MADANI kekal jelas iaitu memperkukuh dasar, mempercepat pelaksanaan dan memperluas kerjasama.
“Kesiapsiagaan bencana akan dinilai bukan semata-mata dengan fungsi dan kecekapan pentadbiran di peringkat Kerajaan, tetapi nilai tanggungjawab kolektif semua rakyat untuk melindungi nyawa, kehidupan dan masa depan negara kita bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata tumpuan kini sedang diberikan sepenuhnya kepada usaha pasca banjir dan bantuan kemanusiaan kepada semua mangsa yang terlibat.
“Saban tahun, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memastikan semua agensi di bawah JPBP, negeri (JPBN) dan daerah (JPBD) sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan segala bentuk bencana demi memastikan keselamatan rakyat.
“Segala inisiatif dan mekanisme pengurusan bencana yang dilaksanakan oleh NADMA selaku agensi peneraju menjadi penanda aras kepada keberkesanan dasar terhadap tahap kesiapsiagaan sistem dan semangat kerjasama seluruh negara untuk masa mendatang,” katanya.