27 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sudah dijalankan dengan teratur dan penuh toleransi.
Tegasnya, mencapai penyelesaian secara baik dan aman itu bukan tanda kelemahan seperti didakwa sesetengah pihak.
“Mencari penyelesaian baik itu bukan tanda kelemahan seperti disanggah sebahagian kelompok tertentu.
“Penyelesaian secara aman, beradab dan berakhlak itu bukan sahaja kepada umat Islam tetapi masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah pembinaan Masjid MADANI milik Jakel Group di Jalan Bunus, Kuala Lumpur, hari ini.
Kelmarin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pengurusan kuil tersebut bersetuju berpindah ke lokasi yang dicadangkan iaitu kira-kira 50 meter dari tapak asal.
Kuil itu dibina atas tanah milik Jakel Group yang diperoleh pada tahun 2012 dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan lapan tahun kemudian syarikat tekstil itu mendapat kebenaran membina sebuah masjid.
Kuil tersebut akan dipindahkan ke lokasi baharu yang berkeluasan 4,000 kaki persegi.
Dalam pada itu, Anwar berkata melalui penyelesaian dicapai, ia menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam.
Beliau sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penyelesaian isu itu.
“Penghargaan saya juga ditujukan kepada mereka yang telah membantu memberikan penjelasan, termasuk beberapa rakan saya yang bukan beragama Islam, Gobind Singh Deo dan R Ramanan yang membantu menjelaskan keadaan.
“Jika semua orang mahu jadi hero kaum mereka sendiri, rosak negara ini. Nak jadi pemimpin Malaysia tapi bercakap bagi pihak dan pertahankan sentimen benci kaum,” katanya.
