27 MAC : Masjid MADANI yang bakal dibina di Jalan Masjid India diharap dapat berfungsi sebagai pusat komuniti setempat.
Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mencadangkan diwujudkan ruang perpustakaan, dewan persidangan serta ruang seni dan budaya.
“Fadillah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof) pun cadangkan supaya ada ruang budaya, seni, tempat masyarakat berkumpul di masjid ini sebab ini masjid kota dan supaya rakan-rakan bukan Islam tak rasa kekok kenal Islam yang sederhana, Islam yang penuh dengan rahmah dan hikmah.
“Sebab itu saya usulkan supaya ada ruang perpustakaan, dewan persidangan, seni dan budaya untuk perkenal Islam di mata awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Masjid Madani milik syarikat tekstil terkemuka, Jakel Group di Jalan Bunus, hari ini.
Masjid MADANI dijangka siap pada 2027 dengan binaan empat tingkat atas tanah seluas 12,142 kaki persegi.
Difahamkan masjid berkenaan mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa termasuk 592 jemaah di ruang solat utama di tingkat satu.
Pengarah Urusan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata masjid itu dibina atas niat Allahyarham bapanya yang mahu didirikan sebuah masjid di situ.
Selain itu katanya, ia juga mengambil kira keperluan setempat yang mengalami masalah kesesakan teruk terutama sekali dalam menampung jemaah semasa solat Jumaat dan hari raya.
