27 MAC : Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam sekolah di semua institusi pendidikan dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dikuat kuasakan mulai 21 April depan secara berperingkat.
Ketetapan itu dibuat selepas kelulusan Kabinet pada 14 Februari lalu, menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan (SPI) 3/2025 dikeluarkan KPM bersama Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang.
Pemakaian lencana itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.
Lencana Jalur Gemilang perlu disemat pada sebelah kanan seragam bagi pelajar sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institusi Pendidikan Guru (IPG).
“Sebagai negara yang berbilang bangsa, penggunaan lencana ini mengingatkan murid tentang kepentingan memupuk perpaduan yang melambangkan elemen-elemen dalam bendera.
“Lencana ini bukan hanya sekadar hiasan tetapi simbol penting yang perlu dihormati,” menurut KPM dalam SPI itu.
Pelajar juga akan dibekalkan dua unit lencana tersebut secara percuma pada sesi persekolahan 2025/2026.
Usaha kerajaan ini dilihat sebagai usaha memperkukuh rasa cinta terhadap negara dalam kalangan generasi muda.