27 MAC : Kebakaran hutan yang melanda wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan semakin memburuk apabila ditambah dengan luruan angin kencang.
Agensi Berita Yonhap melaporkan sekurang-kurangnya 26 orang terkorban setakat ini sementara 30 lagi cedera.
Kebakaran itu sudah memusnahkan sekitar 36,000 hektar kawasan hutan iaitu hampir 13,000 hektar lebih luas berbanding kebakaran di pantai timur yang berlaku pada tahun 2000.
Kebakaran ketika itu memusnahkan kawasan seluas 23,794 hektar dan dianggap kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara tersebut.
Dalam pada itu, 37,000 penduduk dipindahkan di kawasan Uiseong dan Andong, Gyeongsang Utara.
Kerja-kerja mengawal kebakaran masih diteruskan sehingga kini dengan kebimbangan kebakaran akan merebak lebih pantas susulan angin kencang.
Semalam, dilaporkan seorang juruterbang yang sedang dalam misi memadam api disahkan meninggal dunia selepas pesawatnya terhempas di kawasan pergunungan di Uiseong.