27 MAC : Pelaksanaan penyelarasan subsidi bahan api RON95 akan menggunakan sistem MyKad dan dua kadar harga iaitu harga subsidi dan bukan subsidi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata mekanisme itu dijangka diumumkan selepas separuh pertama tahun ini.
Menurutnya, mekanisme itu sedang diperhalusi dan kerajaan tidak mahu gopoh dalam mengumumkan sesuatu dasar.
“Kita tidak mahu mengumumkan sesuatu perkara sementara kami masih menjalankan kerja kerana perkara paling penting yang kami mahu pastikan adalah sistem ini kukuh.
“RON95 akan menggunakan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi. Sistem yang akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak adalah melalui MyKad,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas tinjauan operasi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di ibu negara, hari ini.
Menurut Amir Hamzah, MyKad sudah menjadi medium dalam penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini dan ia menunjukkan sistem itu kukuh.
Seramai 700,000 penerima SARA menerima bantuan melalui MyKad dan mulai 1 April, ia diperluas kepada 5.4 juta penerima.
“Jika kita boleh menggunakan MyKad kepada 5.4 juta penerima dengan 3,500 kedai, ia menunjukkan sistem itu kukuh.
“Justeru, tidak ada beza jika MyKad diguna pakai untuk rasionalisasi subsidi RON95,” katanya.
Pada masa sama, beliau sekali lagi mengulang bahawa 85 peratus rakyat di negara ini tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95.
Kerajaan merancang untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pertengahan tahun ini
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan 2025 berkata 40 peratus subsidi RON05 di negara ini dinikmati warga asing sementara 15 peratus lagi adalah pengguna mahakaya.
*Foto : Facebook Rapid KL