28 MAC : Malaysia menyatakan kesediaan untuk membantu dan menyokong usaha kemanusiaan yang diperlukan selepas Myanmar dan Thailand terjejas akibat gempa bumi kuat, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili negara menzahirkan ucapan takziah kepada semua yang terjejas dan kehilangan insan tersayang dalam bencana itu.
“Saya amat prihatin dengan gempa bumi kuat yang melanda tengah Myanmar dan utara Thailand, mengakibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan teruk di Mandalay, Bangkok dan kawasan berhampiran.
“Laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam terperangkap dan jumlah korban yang semakin meningkat amat membimbangkan.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah yang paling mendalam kepada semua yang kehilangan orang tersayang dan mendoakan kesembuhan bagi mereka yang cedera serta perlindungan bagi yang terjejas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Tengah hari tadi, gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar yang turut dirasai di beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Thailand dan Laos.
Di Myanmar, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selepas sebuah masjid runtuh dan dilaporkan kerosakan besar berlaku pada tembok kubu Istana di Wilayah Mandalay akibat gempa itu.
Sementara Thailand mengisytihar darurat selepas sebuah bangunan 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh dan seorang dilaporkan maut manakala 43 lagi hilang.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia teguh bersolidariti dengan negara jiran dan rakan negara ASEAN yang terjejas.
“Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama negara jiran dan rakan-rakan dalam ASEAN.
“Kami mengambil maklum pengisytiharan darurat oleh pihak berkuasa di Myanmar serta penetapan Bangkok sebagai kawasan bencana oleh kerajaan Thailand,” katanya.
Pada masa sama katanya, Malaysia juga memantau rapi perkembangan di selatan Yunnan, China susulan kerosakan bangunan dialami akibat gegaran itu.
Selain itu, beliau berharap negara yang terkesan diberikan ketabahan dan pemulihan segera.