Jika sayang ummah, mereka tidak khianati UMNO
28 MAC : Jika sayangkan ummah, bekas ahli UMNO tidak akan mengkhianati perjuangan dan menubuhkan parti lain.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata golongan seperti itu melaungkan soal penyatuan ummah namun merekalah yang memecah-belahkan parti.
“Kalau kita sayangkan ummah, UMNO dulu tidak berpecah dan mereka yang bercakap tentang penyatuan ummah itulah yang memecah-belah dengan keluar parti, mengkhianati parti untuk mencari haluan sendiri.
“Jadi jangan kita sewenang-wenang menggunakan perkataan ummah walhal mereka keluar UMNO menubuhkan parti lain untuk menggantikan UMNO,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di Seremban, malam tadi.
Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Kata Hamzah, tiada lagi sebab untuk UMNO dan Bersatu terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.
Namun Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri menegaskan ajakan Bersatu itu bukan dibuat atas dasar penyatuan ummah sebaliknya selepas sudah tidak mempunyai hala tuju jelas.
“Jadi jangan kita memperdagangkan ummah. Kalau kita fikir tentang ummah kita takkan berpecah dulu.
“Saya harap yang penting ialah keikhlasan kita. Kalau betul-betul cakap pasal ummah, saya tidak ada masalah, yang penting kekuatan ummah itu dibina dengan keikhlasan dan bukan untuk kepentingan pihak tertentu.
“Kalau kita sayangkan ummah, dimana pun kita berada, perlu memberikan khidmat bakti terbaik dan bukan memecah-belah perpaduan sedia ada,” jelasnya.
Katanya, rakyat hari ini lebih ramai yang non-partisan dan berdiri atas pagar susulan kecewa dengan parti-parti yang ada hari ini.