28 MAC : Wisma Putra mengesahkan semua rakyat Malaysia berada di Myanmar dalam keadaan selamat selepas kejadian gempa bumi yang melanda negara itu, hari ini.
Menurut kementerian itu, laporan awal juga mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang cedera di Thailand.
Thailand turut menerima impak gempa bumi dengan magnitud 7.7 itu yang meranapkan sebuah bangunan 30 tingkat dalam pembinaan.
Gempa kedua dengan magnitud 6.4 berlaku tidak lama selepas gegaran pertama yang berlaku sekitar jam 1 petang (waktu tempatan)
“Rakyat Malaysia yang berada atau dalam perjalanan ke Myanmar dan Thailand dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan dan mengambil semua langkah keselamatan yang perlu,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini..
Dalam pada itu, kementerian itu memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang terletak di Kronos Office Tower ditutup sementara bagi tujuan penilaian keselamatan.
“Buat masa ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan premis kedutaan yang sedia ada.
“Sekiranya berlaku kecemasan atau gegaran susulan yang kuat, rakyat Malaysia di Bangkok dinasihatkan untuk berkumpul di Kompleks Kedutaan bersebelahan Sathorn Garden dan bukan di lokasi Kronos Sathorn Tower,” kata Wisma Putra.