28 MAC : Rakyat kebanyakan tidak perlu runsing dengan pelaksanaan pelarasan subsidi petrol RON95, tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara 85 peratus hingga 90 peratus rakyat di negara ini tidak terjejas dengan pelarasan itu.
“Mekanisme secara terperinci kita akan buat tetapi saya tak fikir rakyat perlu runsing sebab 85 hingga 90 peratus mereka tak terkesan dengan apa pun kaedah yang diperkenalkan dalam isu ini.
“Janganlah dengar fitnah-fitnah yang dibangkitkan. Bulan puasa pun mereka bangkit contohnya kerajaan naikkan tarif elektrik, padahal yang naik itu untuk golongan kaya sahaja, begitu juga isu RON95.
“Ia cuma dikenakan kepada warga asing dan kelompok mahakaya. Kalau pendapatan lebih RM50,000 sebulan, bayarlah sedikit. Wartawan di hadapan saya pun tak akan terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Jalan Raja Tun Uda di Shah Alam, hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan penyelarasan subsidi bahan api RON95 akan menggunakan sistem MyKad dan dua kadar harga iaitu harga subsidi serta bukan subsidi.
Katanya, mekanisme itu dijangka diumumkan selepas separuh pertama tahun ini.
Menurutnya, mekanisme itu sedang diperhalusi dan kerajaan tidak mahu gopoh dalam mengumumkan sesuatu dasar.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim