29 MAC : ASEAN sedia menyokong usaha bantuan dan pemulihan berdasarkan keutamaan yang dikenal pasti oleh Myanmar dan Thailand.
Dalam satu kenyataan, hari ini, ASEAN menyatakan keperluan mendesak untuk misi bantuan kemanusiaan ke negara terjejas.
Menurut ASEAN, negara anggota akan bekerjasama rapat menyelaras dan memudahkan operasi bantuan serta memastikan tindak balas kemanusiaan yang tepat pada masanya dan berkesan dengan bantuan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).
“Bencana itu mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kemusnahan meluas, terutamanya di Mandalay, Nay Pyi Taw, Bangkok, Chiang Mai dan kawasan sekitarnya.
“ASEAN menegaskan kembali solidaritinya dengan keluarga dan komuniti yang terjejas akibat gempa bumi dan kesannya.
“ASEAN turut menyampaikan rasa simpati dan takziah yang mendalam, kepada rakyat Myanmar dan Thailand berikutan gempa bumi kuat 7.7 magnitud yang melanda Myanmar semalam (28 Mac),” kata kenyataan itu.
Semalam, gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar menyebabkan sekurang-kurangnya 694 orang maut, 1,670 cedera dan 68 hilang dalam kejadian itu.
Gegaran itu turut dirasai di beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Thailand dan Laos malah di Thailand bangunan 30 tingkat dalam pembinaan dilaporkan ranap dalam kejadian itu.
Sementara itu, Malaysia mengantar 50 anggota pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar esok.
Hari ini, Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (Pasukan SMART) tiba di Yangon tengah hari tadi untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili negara menzahirkan ucapan takziah kepada semua yang terjejas dan kehilangan insan tersayang dalam bencana itu.
Beliau turut memaklumkan Malaysia bersedia membantu dan menyokong usaha kemanusiaan yang diperlukan di Myanmar dan Thailand.