29 MAC : Banjir di Johor dilaporkan pulih sepenuhnya hari ini selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di tutup, petang tadi.
PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading di Batu Pahat itu sebelum ini menempatkan 140 mangsa banjir terakhir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Semua mangsa banjir terakhir yang terdiri daripada 44 keluarga itu adalah penduduk Kampung Baharu di Parit Raja, Batu Pahat.
“PPS yang dibuka jam 1 petang, 24 Mac lalu itu kini ditutup operasinya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Johor kembali dilanda banjir pada 20 Mac lalu selepas hujan berterusan yang menyebabkan air naik di beberapa kawasan dan daerah Johor Bahru paling teruk terjejas.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga jam 7 malam ini, manakala tiada amaran hujan dikeluarkan di mana-mana daerah di negeri itu.