Malaysia hantar Pasukan SMART bantu SAR di Myanmar
29 MAC : Malaysia menghantar Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (Pasukan SMART) ke Myanmar bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan akibat gempa bumi kuat yang berlaku semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan itu sudah digerakkan hari ini dan dijadual tiba di Yangon, sekitar jam 1 tengah hari ini.
Dalam pada itu, Malaysia juga sedang mangatur bantuan kemanusiaan ke Thailand.
“Sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menyatakan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terjejas.
“Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia telah mengatur gerak Pasukan SMART ke Myanmar dan pasukan tersebut dijadualkan tiba di Yangon hari ini sekitar jam 1.00 tengah hari bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan.
“Pada masa yang sama, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar menyebabkan sekurang-kurangnya 144 orang maut dan lebih 700 cedera dalam kejadian itu.
Gegaran itu turut dirasai di beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Thailand dan Laos malah di Thailand bangunan 30 tingkat dalam pembinaan dilaporkan ranap dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat negara berkata Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini.
“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini.
“Kejadian ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta kerosakan besar kepada bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara.
“Lebih memilukan, terdapat laporan mengenai mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan mencabar,” katanya.
Menurutnya, Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana.
“Khususnya melalui penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana,” kata Ahmad Zahid.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili negara menzahirkan ucapan takziah kepada semua yang terjejas dan kehilangan insan tersayang dalam bencana itu.
Beliau turut memaklumkan Malaysia bersedia membantu dan menyokong usaha kemanusiaan yang diperlukan di Myanmar dan Thailand.
*Foto : Facebook Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia
*OLEH : HANUM RAJAK