29 MAC : Polis membuka kertas siasatan terhadap insiden pergaduhan yang tercetus di Jalan Tunku Abdul Rahman, semalam melibatkan seorang penjaja dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata laporan polis dibuat seorang anggota penguat kuasa DBKL, hari ini.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.
Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalah dalam kejadian itu akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 1 minit 42 saat di Facebook yang menunjukkan tindakan penyitaan dijalankan sekumpulan anggota penguat kuasa DBKL terhadap barangan penjaja belon yang berniaga tanpa lesen.
Namun, pergelutan berlaku ketika penyitaan itu antara penjaja belon tersebut dengan anggota DBKL.
Selain itu, tindakan provokasi juga dilakukan beberapa penjaja lain terhadap anggota penguat kuasa yang bertugas.