Harga tiket penerbangan musim perayaan kekal rendah, terkawal
29 MAC : Kementerian Pengangkutan memaklumkan tambang tiket penerbangan bagi musim perayaan kali ini kekal lebih rendah dan terkawal.
Menterinya, Anthony Loke berkata perkara itu hasil inisiatif kerajaan yang menetapkan harga siling serta komitmen syarikat-syarikat penerbangan yang menambah kapasiti penerbangan musim perayaan.
“Saya amat menghargai usaha mereka kerana menyediakan kapasiti tambahan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia memerlukan penyelarasan rapi antara pelbagai pihak – pengawal selia, syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan ramai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau akui ia satu cabaran besar buat kerajaan setiap kali tiba musim perayaan namun beliau berbangga kerana tahun ini tiada lagi keluhan penumpang tidak dapat balik kampung gara-gara tiket terlalu mahal.
“Ini merupakan satu cabaran besar setiap kali musim perayaan tetapi saya bangga kerana tahun ini kita tidak dengar tidak dapat beli tiket penerbangan balik ke Sabah, Sarawak ataupun tiket penerbangan yang terlalu mahal kerana memang kita ada dasar harga maksimum semasa musim perayaan.
“Tambahan pula ada penerbangan tambang tetap yang lebih rendah daripada harga maksimum kita. Semoga penumpang-penumpang dapat balik beraya dengan gembira,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin buat semua yang merayakannya.
