30 MAC : Semua rakyat Malaysia diajak mengamalkan sikap saling menghormati dan menanam kasih sayang bagi menjamin kestabilan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan mengangkat martabat insan dan mendeka dalam menjalin hubungan antara kaum serta penganut agama lain.
“Baik Ramadan serta Aidilfitri, kita terus tekankan kepentingan mengangkat martabat insan sebagai makhluk yang luhur dan merdeka menjalin hubungan antara kaum dan penganut agama lainnya kerana ini perlu kita pertahankan.
“Tanpa sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan menanam sikap ihsan serta kasih sayang antara kita, negara ini tidak akan dapat menjamin kestabilan, kemanana yang diharapkan.
“Mudah-mudahan Aidilfitri pada kali ini disambut dengan kesedaran sedemikian, mengangkat martabat kita sebagai manusia yang lebih berwibawa berakhlak mulia dan menjalankan tugas kita dengan penuh amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Aidilfitri 2025/1446H YAB Perdana Menteri yang disiarkan, hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal esok bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
*OLEH : HANUM RAJAK