30 MAC : Umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri pada Isnin, 31 Mac 2025.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan perkara itu hari ini melalui siaran secara langsung di stesen televisyen tempatan, sebentar tadi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 31 Mac 2025,” umumnya.
Umat Islam di Malaysia mula menunaikan ibadah puasa pada 2 Mac lalu dan berakhir, hari ini.