7 APR : Malaysia hanya mengenakan 5.6 peratus tarif terhadap barangan import dari Amerika Syarikat (AS) bukannya 47 peratus seperti didakwa negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kadar itu berdasarkan konsep tarif Negara Paling Digemari (MFN) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Presiden AS, Donald Trump menggunakan angka 47 peratus bagi menghalalkan tarif timbal balas (reciprocal tariff) sebanyak 24 peratus terhadap barangan eksport dari Malaysia.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, beberapa langkah penting digariskan untuk menangani impak tarif tersebut termasuk pengaktifan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC)
“MITI sedang membuat kajian impak kepada sektor-sektor eksport utama ke AS, dan NGCC akan mempertimbangkan dapatan daripada kajian tersebut semasa mesyuarat seterusnya dalam masa terdekat.
“MITI akan berjumpa dengan wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport dan libat urus dengan kementerian dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Bank Negara Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan sebagainya.
“MITI akan mengambil pendekatan menyeluruh dalam mempertimbangkan pelbagai pilihan yang ada,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, implikasi tarif AS itu terhadap aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan kestabilan makroekonomi akan dibincangkan pada mesyuarat khas Menteri-menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April ini.
Kata Tengku Zafrul, penglibatan strategik peringkat tinggi dengan AS tetap akan diteruskan.
“Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan & Pelaburan Malaysia-AS (TIFA) akan dimanfaatkan. MITI juga akan mempertimbangkan untuk mengadakan perjanjian perlindungan teknologi, untuk melindungi eksport semikonduktor dan aeroangkasa Malaysia.
“Pengecualian sektor akan dirundingkan. Pagi ini, saya bertemu dengan Duta Besar AS (Edgard D Kagan) dan rundingan seterusnya akan dibuat,” katanya.
*Foto: Facebook Tengku Zafrul