7 APR : Penjualan minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) diteruskan meski negara berdepan tarif timbal balas 24 peratus seperti diumum Presiden Donald Trump.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata arahan itu dikeluarkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Tidak ketinggalan Datuk Seri Johari Ghani, beliau akan terus menjual minyak sawit di AS walaupun tarif yang akan dikenakan itu. Ianya arahan Perdana Menteri kepada beliau dan saya juga setuju.
“Harus menjual dengan lebih banyak kepada AS…Bagaimana hendak buat, itu terletak pada kebijaksanaan beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Command Center BN, Tapah, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, isu kenaikan tarif yang dikenakan AS terhadap Malaysia dan negara lain itu tidak wajar dipolitikkan lebih-lebih lagi menjelang kempen PRK DUN Ayer Kuning.
Katanya, ia isu sejagat dan menggesa rakyat tanpa mengira parti agar bersatu hati dalam mendepani masalah tersebut yang melanda global.
“Ini adalah masalah yang dihadapi oleh negara hatta kepada pembangkang sekali pun, memandangkan ia adalah tekanan yang diberikan oleh pentadbiran AS.
“Sepatutnya demi kepentingan negara kita harus bersatu hati untuk menyantuni dan mendepani masalah ini.
“Jangan jadikan Ayer Kuning ini sebagai tempat untuk melempiaskan amarah dengan berbagai isu, memandangkan isu ini adalah isu dikenakan pada kita rakyat Malaysia di seluruh negara tanpa mengira latar parti politik agama, latar belakang dan keturunan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata seluruh rakyat harus bersama-sama mendokong visi Anwar dan membela negara yang ditekan dengan tarif tersebut.
Terdahulu, Trump mengumumkan tarif universal 10 peratus terhadap semua import negara itu dengan kadar lebih tinggi dikenakan terhadap negara Asia seperti Kemboja 49 peratus, Vietnam (46 peratus), China (34 peratus), masing-masing 24 peratus oleh Jepun dan Malaysia serta Singapura (10 peratus).
*Foto : Facebook Zahid Hamidi