7 APR : Perdana Menteri akan memberi penekanan terhadap keperluan membentuk satu kesepakatan dalam kalangan negara ASEAN.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata perkara itu akan disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada dua acara yang dijadualkan esok dan Khamis.
“Perdana Menteri akan bertemu dengan para pelabur ASEAN dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN pada Selasa, 8 April 2025. Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri majlis penutup Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM) pada Khamis (10 April).
“Perdana Menteri akan memberi penekanan terhadap keperluan negara-negara ASEAN, membentuk satu kesepakatan dalam mengukuhkan lagi soal ekonomi dan perdangan di rantau ini,” katanya.
Tunku Nashrul berkata demikian pada sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Menurutnya, AFMGM akan bermula minggu ini hingga Khamis dengan kira-kira 300 delegasi terdiri daripada Menteri Kewangan ASEAN, Gabenor Bank Pusat, pegawai daripada Institusi Kewangan Antarabangsa dan wakil sektor swasta.
Dalam kesempatan itu, Tunku Nashrul berkata Anwar yang juga Menteri Kewangan akan memanjangkan perbincangan yang diadakan bersama ketua-ketua negara ASEAN tempoh hari terkait isu tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS).
“Yang mana perkara ini memerlukan perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bagi membawa suara komuniti ASEAN,” katanya.
Tunku Nashrul berkata Anwar mengingatkan semua bahawa daya tahan ekonomi Malaysia kuat dan mampu menampung gelombang itu.
“Walaupun landskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan daya tahan ekonomi Malaysia kuat dan berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana serta panjang.
“Yang penting, kesemua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi kita,” katanya.
Justeru itu katanya, Kerajaan MADANI akan melipat gandakan komitmen memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas.
Selain itu, kerajaan juga akan terus menarik pelaburan asing, meneruskan agenda reformasi ekonomi atau industri bagi menyokong rantaian bekalan serta kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia.