Briged Seni Kreatif dilancar, tarik lebih ramai penggiat seni sertai APM
8 APR : Briged Seni Kreatif (CDA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan bagi memperkasakan peranan golongan seni dalam pengurusan bencana dan situasi kecemasan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan mahu memastikan lebih ramai daripada industri kreatif terlibat dengan APM.
Menurutnya, setakat ini 172 warga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah berdaftar dengan CDA.
“Kita mahu memastikan lebih ramai rakan dalam industri kreatif turut terlibat bersama APM, tidak kira ketika situasi bencana atau sebarang musibah lain yang melanda masyarakat.
“Public Service Announcement (PSA) juga akan disediakan oleh FINAS untuk menyampaikan maklumat kritikal dalam cara yang lebih menarik dan dekat di hati rakyat.
“Setakat ini 172 warga yang berkait dengan FINAS sudah didaftarkan sebagai ahli Briged Seni Kreatif.
“Menjelang tahun hadapan, diharap seramai 1,200 warga FINAS akan menyertai CDA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Pertahanan Awam ke-73, hari ini.
Beliau juga berharap penglibatan penggiat seni dapat memberi sokongan moral dan emosi kepada masyarakat yang terjejas dalam bencana serta anggota uniform yang terlibat dalam operasi.
CDA menerapkan konsep sukarelawan yang membantu dalam situasi kecemasan dan menyumbang melalui pendekatan seni yang menyentuh emosi masyarakat.
Pada majlis sama, 79 penerima watikah pelantikan pegawai kehormat dan bersekutu APM didahului Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Perdana APM.
Sementara Fahmi bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat APM.
*Foto : Facebook Zahid Hamidi