8 APR : Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dicadang melantik pesara tentera atau polis dicadang sebagai warden sepenuh masa di semua institut berkenaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyuarakan cadangan itu dalam pertemuan beliau dengan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, semalam.
Kata Asyraf, ia bagi mengekang budaya buli yang berlaku dalam kalangan pelajar MRSM.
“Semalam juga saya adakan perbincangan dengan Ketua Pengarah MARA untuk memastikan budaya buli ini dapat dikekang sepenuhnya.
“Antara yang saya minta pihak pengurusan perhalusi ialah cadangan untuk menempatkan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua MRSM seluruh Malaysia.
“Warden ini boleh dilantik melalui proses temuramah dan penilaian holistik terhadap calon-calon dikalangan pesara tentera mahupun polis yang punya keupayaan yang baik untuk menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui komen yang dimuat naik di Facebook berkait pengumuman penamatan pengajian terhadap tujuh pelajar MRSM yang terlibat dalam buli terhadap pelajar lain seperti yang tular, baru-baru ini.
Dalam pengumuman itu, Asyraf berkata “keputusan kes buli MRSM jawatankuasa disiplin maktab: Tujuh pelajar didapati terlibat. Dua terlibat buli fizikal, lima subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM.”
Menurutnya, buli itu melibatkan pelajar MRSM di utara dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan buli.
Beliau juga menegaskan tidak bersetuju untuk memberi peluang kedua kepada pembuli sambil mengingatkan prinsip ‘you touch, you go’ yang berulang kali disebut sebelum ini.
“Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.
“ Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa sebarang salah laku buli tidak akan ditutup dan akan diambil tindakan paling tegas juga keras agar menjadi pengajaran buat semua pelajar.
“Saya ingatkan sekali lagi pembuli dan apa jua bentuk budaya buli tiada tempat di mana-mana Institusi Pendidikan MARA termasuk MRSM.
“Kita tidak akan kompromi dengan aktiviti buli. Saya tegaskan beberapa kali ‘you touch, you go’. Apa saja bentuk buli sama ada mental mahu pun fizikal tidak dibenarkan berlaku dalam MARA.
“MARA adalah medan melahirkan pemimpin, mana mungkin kita nak lahirkan pemimpin yang dangkal akal budinya dan tercemar adab dan perilakunya. Ingatlah, ‘you touch, you go’,” katanya.
*Foto : Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
*OLEH : HANUM RAJAK