8 APR : Barisan Nasional (BN) menolak dakwaan kononnya pemilihan Mohamad Yusri Bakir sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak menepati hasrat untuk meremajakan parti.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemilihan itu dibuat dengan teliti dan mengambil kira pelbagai faktor demi memastikan BN dapat mempertahankan kerusi itu.
“Bila kita kata meremajakan parti, ia tidak semestinya dari segi umur semata-mata tetapi dari pelbagai aspek termasuk gerak kerja, selain beri peluang kepada ahli akademik dan bermacam-macam lagi.
“Kita pilih Pemuda (UMNO) di PRK Nenggiri (Kelantan) dan PRK Mahkota (Johor), bukan bermakna kerana ia Pemuda, tetapi dia calon parti yang sesuai dan terbaik, cuma kebetulan dari Pemuda.
“Di Ayer Kuning ini, Mohamad Yusri adalah calon terbaik selepas diberi pelbagai pertimbangan daripada calon awal seramai enam orang, jadi atas faktor itu kita pilih beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Pentadbiran Daerah, di Seremban 2, hari ini.
Mohamad Yusri berusia 54 tahun merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah yang kini bertugas sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.
Pemilihan Mohamad Yusri diumum semalam oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tapah.
Dalam pada itu, Mohamad berharap pengundi Ayer Kuning berpuas hati dengan calon yang dipilih parti.
“Saya minta pengundi Ayer Kuning dapat memberikan mandat kepada beliau sebagai wakil rakyat untuk meneruskan kerja yang dirancang Allahyarham Ishsam Shahrudddin,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama dan sokongan daripada parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan sama seperti PRK yang lalu.
“Saya berharap keberkesanan kerjasama ini akan membuahkan hasil yang baik,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning dijadualkan pada 26 April dengan penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal masing-masing pada 22 April.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februaru lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
*Foto :Facebook Mohamad Sabu