Malaysia komited bangunkan kawasan sempadan

8 APR : Malaysia komited membangun kawasan sempadan bagi menggalakkan aktiviti ekonomi dalam usaha memperkukuh kerjasama ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan dan kerjasama dalam usaha itu dapat membantu ASEAN yang dianggotai 10 negara dengan hampir 700 juta penduduk.
“Walaupun ini bukan penyelesaian segera, ia tetap satu langkah penting,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bertajuk ASEAN 2025: Membina masa depan berdaya tahan dan terangkum, hari ini.
Anwar merujuk Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura sebagai antara pembangunan di sempadan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata daya tahan ASEAN juga memerlukan pelaburan infrastruktur yang mampu mendepani cabaran dari segi literal dan kewangan.
“Negara-negara jiran kita di Asia Tenggara amat terdedah kepada bencana alam. Selain itu, kesan perubahan iklim memberi impak yang serius.
“Keupayaan kita untuk menguruskan cuaca buruk, melindungi infrastruktur penting dan komuniti yang mudah terjejas perlu dipertingkatkan dengan ketara,” katanya.
Persidangan itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
