9 APR : China dikenakan kadar tarif luar biasa oleh Donald Trump iaitu mencecah 104 peratus terhadap semua barangan import dari negara tembok besar itu ke Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt mengumumkan tarif tambahan daripada sedia ada itu dikenakan Presiden AS terhadap China yang berkuat kuasa, hari ini.
Angka itu jauh tersasar daripada jangkaan awal tarif timbal balik terhadap China iaitu 34 peratus.
Namun Trump menambah lagi 50 peratus selepas Beijing tidak menarik balik janjinya untuk mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus ke atas barangan AS sebelum tengah hari semalam, menjadikan jumlah keseluruhan tambahan tarif kepada 84 peratus.
Semalam, Kementerian Perdagangan China dilaporkan tegas menentang tambahan tarif 50 peratus yang dikenakan terhadap import China dan menyifatkannya sebagai satu kesilapan di atas kesilapan.
China kemudiannya berikarar akan meningkatkan tindakan balas terhadap eksport AS.
Selepas kenyataan Leavitt, semalam, pasaran saham AS yang melonjak pagi semalam mula menurun.
“Negara seperti China yang memilih untuk membalas dan menggandakan layanan buruk mereka terhadap pekerja Amerika, sedang melakukan kesilapan.
“Presiden Trump memiliki keteguhan yang luar biasa dan beliau tidak akan berundur. China mahu membuat perjanjian, cuma mereka tidak tahu bagaimana,” katanya.
Leavitt turut menolak untuk mendedahkan sebarang syarat yang mungkin menjadi pertimbangan Trump untuk menurunkan tarif ke atas China.
China dikenakan tarif 10 peratus terhadap semua barangan dari China, Februari lalu dan digandakan pada Mac.
Tahun lalu, China merupakan sumber import kedua terbesar AS dengan nilai AS$439 bilion sementara nilai eksport AS ke China AS$144 bilion.
Dalam pada itu, Leavitt berkata meski beberapa perbincangan berjalan dengan pemimpin dunia berkait kadar tarif yang lebih rendah namun katanya, Trump tidak berminat untuk menangguhkan rancangannya.