Insiden Putra Heights: PM arah dapatkan senarai kilang, syarikat terjejas
9 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua kementerian untuk mendapatkan senarai kilang dan syarikat yang terjejas susulan kebakaran paip gas di Putra Heights.
Ia melibatkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) juga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata arahan itu disampaikan Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
“Berkaitan kejadian kebakaran itu, kita dimaklumkan mengenai isu bekalan gas dihadapi oleh sejumlah syarikat dan kilang yang terkesan akibat penutupan saluran gas.
“Perdana Menteri meminta KESUMA mendapatkan senarai penuh kilang dan syarikat terkesan itu daripada MITI bagi mengumpulkan maklumat mengenai pekerja mereka untuk memahami keadaan dihadapi syarikat dan pekerja berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurut Fahmi, Suruhanjaya Tenaga (ST) pulaakan mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).
“Dalam hal ini, MITI serta KESUMA sedang berurusan terus dengan pihak syarikat. Kita akan meneliti dan susuli dengan beberapa tindakan,” katanya.
Katanya, usaha memperbaiki saluran yang terjejas dan mengembalikan bekalan gas kepada syarikat terjejas menjadi salah satu keutamaan kerajaan.
Terdahulu, dilaporkan kira-kira 200 syarikat di kawasan insiden berisiko menghentikan operasi susulan masalah bekalan gas stabil.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata meskipun bekalan gas dijangka pulih sepenuhnya pada 20 April depan namun gangguan selama 20 hari itu memberi kesan terhadap operasi industri terbabit.
kejadian kebakaran besar pada saluran gas Petronas menggemparkan negara dengan api yang menjulang lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Ratusan premis dan kenderaan dilaporkan terbakar, mencair dan rosak dalam kejadian itu menyebabkan ratusan penduduk sekitar kawasan tersebut dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.