9 APR : Kerajaan akan meneliti semula kerangka kerja Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) secara menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kajian itu bagi memastikan proses pelantikan dalam sistem kehakiman benar-benar telus.
“Sementara kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah, saya menzahirkan komitmen reformasi Kerajaan MADANI untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja SPK, selaras dengan semangat pembaharuan institusi.
“Ini bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berkait permohonan semakan ke atas kesahan Perlembagaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK).
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kajian semula itu akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).
Katanya, ia bagi memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan iaitu memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin.
“Justeru, Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab dan menghormati kesemua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini,” katanya.
Menyentuh soal tindakan undang-undang yang difailakn di Mahkamah Tinggi itu, Anwar berkata kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman.
“Ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang. Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman sudah dipersoalkan sejak sekian lama dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan NGO.
Katanya, persoalan tersebut bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan.
*OLEH : HANUM RAJAK