9 APR : Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Yang Dipertua PAS Tapah, Abd Muhaimin Malek bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan pencalonan itu pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK N.48 Ayer Kuning di Dataran Awam Tapah Road, malam tadi.
Anak jati Ayer Kuning itu merupakan Pengerusi PN Parlimen Tapah yang berusia 44 tahun.
Abd Muhaimin adalah Pengetua Maahad Tahfiz Addin Air Kuning sejak tahun 2015 dan pernah menuntut ilmu di Syria sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah.
Kelmarin, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Bakir sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, 26 April ini.
Mohamad Yusri berusia 54 tahun adalah pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.
Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekali lagi mencalonkan Bawani KS yang hilang wang deposit pada pilihan raya umum lalu.
Bawani, 40 merupakan anak tempatan Ayer Kuning yang mempunyai firma guamannya sendiri.
PRK DUN Ayer Kuning dijadualkan pada 26 April dengan penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal masing-masing pada 22 April.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februaru lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.