9 APR : Kerajaan dijangka membuat beberapa keputusan berkait tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport Malaysia, Isnin ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan berkaitan itu akan dibuat susulan mesyuarat bersama ketua- ketua negara ASEAN dan mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dijadualkan berlangsung pada hari sama.
Selain itu, katanya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Rahman dijadual mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN, esok.
“Maka pada hari Isnin kita akan buat beberapa keputusan sebelum meminta rombongan ke Washington bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dengan AS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, mesyuarat pada Isnin itu adalah sebahagian langkah proaktif kerajaan sebagai Pengerusi ASEAN.
“Semua isu dan pandangan yang dihadapi oleh negara ASEAN dan kita berhasrat untuk mengadakan perbincangan sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengejutkan semua negara dengan tindakannya mengenakan tarif timbal balas (reciprocal tariff) terhadap lebih 180 negara termasuk Malaysia dikenakan tarif 24 peratus susulan dakwanya Malaysia mengenakan tarif 47 peratus terhadap AS.
Sehubungan itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa Malaysia hanya mengenakan 5.6 peratus tarif terhadap barangan import dari AS bukannya 47 peratus seperti didakwa negara itu.