10 APR : Negara anggota ASEAN perlu bekerjasama membantu Myanmar susulan gempa bumi yang melanda selain menangani kebimbangan terhadap semangat konsensus lima perkara.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersama negara anggota yang lain menawarkan bantuan kepada Myanmar.
“Kami telah mengadakan perjumpaan dengan Jeneral Kanan (Min Aung Hlaing) untuk berbincang mengenai usaha-usaha kemanusiaan. Saya juga maklumkan kepada semua rakan sekerja bahawa kita seharusnya menggunakan peluang ini untuk bekerjasama.
“Sekurang-kurangnya bermula dengan penganjuran bantuan kemanusiaan dengan kedua-dua pihak dan kemudian cuba meyakinkan mereka untuk sekurang-kurangnya mempertimbangkan beberapa kebimbangan yang telah kita suarakan selari dengan parameter umum konsensus lima perkara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demi kestabilan rantau, ASEAN perlu terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit di Myanmar.
Katanya, ASEAN perlu berunding dengan semua pihak berkepentingan bagi mencapai penyelesaian yang inklusif dan aman.
Menurutnya, pendekatan itu kritikal untuk memastikan sebarang tindakan yang diambil selari dengan prinsip kemanusiaan dan matlamat kestabilan serantau.