10 APR : Cadangan memperbesar kampus Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) untuk menampung jumlah pelajar pada masa hadapan akan dibawa ke Kabinet.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, keperluan untuk memperbesar kampus semakin mendesak susulan sambutan menggalakkan pada program yang ditawarkan di UPTM.
Katanya, cadangan tersebut bakal dibawa ke Kabinet bagi menyokong pertumbuhan institusi pendidikan yang semakin mendapat permintaan tinggi.
“Permintaan terhadap program-program ini semakin meningkat, oleh itu adalah penting untuk UPTM mempunyai kampus yang lebih besar.
“Saya selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersetuju supaya kampus UPTM ini diperbesarkan.
“Insya-Allah, saya dan Datuk Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) akan membisikkan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya diberi keutamaan dalam belanjawan tambahan untuk mendirikan kampus yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amazing Syawal UPTM 2025, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid melahirkan keyakinan dengan memperluas kemudahan di UPTM akan membolehkan institusi pendidikan itu terus menjadi peneraju dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional untuk negara.
