10 APR : Sebanyak RM200 juta diperuntukkan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menambah baik mutu capaian Internet di semua Institut Pendidikan MARA (IPMA).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), hari ini.
Kata Fahmi, jumlah itu termasuk tambahan peruntukan RM50 juta kepada RM150 juta yang diluluskan sebelum ini.
“Pihak MCMC sudah setuju sediakan dana untuk menyelesaikan semua masalah Internet di semua institusi pendidikan MARA berjumlah RM150 juta.
“Saya minta ia ditambah lagi RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM200 juta untuk selesaikan masalah Internet di kampus (MARA),” katanya.
Pada majlis itu, MCMC dan MARA bertukar dokumen MoU bagi meningkatkan kualiti capaian Internet di institusi pendidikan MARA.
Dalam pada itu, Fahmi berkata peningkatan capaian Internet itu perlu seiring dengan kesedaran dalam kalangan pengguna agar digunakan dengan selamat dan mengelak daripada terjebak dalam jenayah siber.
Kementerian Komunikasi sebelum ini sudah memperuntukkan lebih RM600 juta untuk menambah baik akses rangkaian WiFi di semua universiti awam seluruh negara secara berfasa dan dijangka siap tahun ini.
*Foto: Facebook Kementerian Komunikasi