10 APR : Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadualkan Sabtu ini akan berlangsung di Dewan Merdeka, di Tapah.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata kertas penamaan calon perlu diserahkan kepada pegawai pengurus di pusat tersebut antara jam 9 pagi hingga 10 pagi sahaja.
Melalui satu kenyataan, hari ini, beliau berkata bakal calon disaran untuk mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak sebelum hari penamaan calon.
Selain itu, beliau juga menyarankan bakal calon membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.
“Bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” katanya.
Katanya, mana-mana calon yang membayar deposit bagi bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ini termasuk dalam penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui kenderaan dan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada hari penamaan calon yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta 5.
“SPR menyeru bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning dijadualkan pada 26 April dengan penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal masing-masing pada 22 April.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februaru lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.