10 APR : Situasi dihadapi China dilihat mampu memberi impak yang signifikan terhadap ekonomi ASEAN meski Amerika Syarikat memberi penangguhan pelaksanaan tarif timbal balas selama 90 hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rantau ini perlu terus menjalin hubungan bilateral yang kukuh selain hubungan pelaburan dan perdagangan cemerlang dengan AS.
Menurut Anwar, ASEAN perlu memastikan hubungannya dengan rakan dagang seperti China, Jepun, Korea Selatan termasuk negara jiran kekal kuat dan kukuh
“Kita perlu lindungi ekonomi domestik dan sekali lagi, keutamaan kita ialah memberi perhatian segera untuk memastikan asas kita kekal kukuh.
“Asas kita akan kekal kukuh sekiranya kita terus memastikan keamanan di rantau ini. Keamanan bermaksud kita mesra dengan kesemua jiran kita. Seperti saya pernah sebut dan saya ulang sekali lagi, China merupakan pihak yang sangat penting.
“Kita tidak boleh mengabaikannya. Ya ada sesetengah negara (anggota) mempunyai masalah (dengan China), tetapi kita akan terus menanganinya melalui cara yang terbaik bagi memastikan keamanan dan keselamatan. Pada masa yang sama kita harus menggapai manfaat dalam ekonomi, pelaburan dan bidang yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12, hari ini.
Sedia maklum dengan kebimbangan dan isu tersendiri negara anggota terhadap pelaksanaan tarif Trump, Anwar akui gembira susulan konsensus dicapai negara anggota untuk meningkatkan kerjasama serantau.
Katanya, ia menjadi bukti bahawa sejak berdekad lamanya, ASEAN mampu menangani perbezaan dengan baik, bukan seperti blok negara lain yang sukar untuk mencapai kata sepakat dalam menangani isu bersama.
“Saya tidak nafikan kita ada isu kecil di sana sini, tetapi ia tidak sampai tahap mencetuskan rasa tidak percaya atau membawa kepada perselisihan dan permusuhan.
“Tiada ada gunanya jika kita asyik mengeluh terhadap sesuatu masalah yang sukar diselesaikan. Masalah dengan AS bukan sesuatu yang mudah, tetapi melalui perdagangan Intra-ASEAN, inisiatif Intra-ASEAN, kastam dan pelaburan, ini kita mampu, dan saya rasa kita perlu lakukannya pada tahap yang lebih pantas,” katanya.
*Foto : Facebook Bernama