11 APR : Malaysia tidak perlu lagi terus bergantung kepada tenaga luar untuk membangun industri rel negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Akademi Rel Pahang (ARP) bakal menjadi peneraju sekali gus memperkasa industri berkenaan.
Katanya, Malaysia perlu memperkukuh pembangunan modal insan tempatan secara sistematik dan menyeluruh.
“Sepatutnya akademi rel ini sudah lama diwujudkan. Walaupun kursus dalaman KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) sudah diadakan untuk pegawai dan juga tenaga kerja baharu tetapi akademi ini adalah pemangkin kepada pendidikan formal dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan ARP di Yayasan Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap tenaga kerja yang dihasilkan menerusi akademi itu juga bukan sekadar untuk pasaran domestik namun juga di luar negara.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap memaklumkan ARP merupakan inisiatif strategik untuk menyokong agenda nasional dalam menjadikan Malaysia sebagai hab logistik dan pengangkutan serantau.
Projek rel mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuatkan kewujudan akademi itu sebagai satu keperluan mendesak terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, kata Wan Rosdy.
Untuk permulaan, 10 pelajar akan dihantar ke Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China selama setahun mulai Mei ini bagi menjalani latihan sebelum diserap dalam projek ECRL.