11 APR : Negara anggota ASEAN secara konsensus bersepakat menolak kenaikan tarif import yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu tersebut dibangkitkan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Mesyuarat ke-12 Menteri Kewangan serta Gabenor Bank Pusat ASEAN yang diadakan minggu lalu.
“Secara konsensus, kita tidak bersetuju dengan tarif tersebut. Jadi, kita sedang mengambil pendekatan bersama, dan para menteri (ASEAN) juga meminta saya untuk menghubungi semua pemimpin ASEAN bagi menyelaras pendekatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Asy-Syakirin, hari ini.
Menurut Anwar, dua mesyuarat melibatkan peringkat tinggi ASEAN itu berlangsung dengan baik dan beliau sempat merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis penuh makna itu.
Terdahulu, Trump mengumumkan tarif universal 10 peratus terhadap semua import negara itu dengan kadar lebih tinggi dikenakan terhadap negara Asia seperti Kemboja 49 peratus, Vietnam (46 peratus), China (34 peratus), masing-masing 24 peratus oleh Jepun dan Malaysia serta Singapura (10 peratus).
Beberapa jam pelaksanaan kadar baharu itu, Trump kemudiannya mengumumkan penangguhan selama 90 hari bagi memberi laluan kepada rundingan.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Putrajaya bersedia untuk menyambut kedatangan Presiden China, Xi Jinping yang akan memulakan lawatan kerja ke Malaysia 15 hingga 17 April ini.
“Kita akan sambut Presiden China dan saya harap ia akan menjadi acara yang meriah,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim