Palestin terus diperjuang, kepentingan Malaysia tidak diketepikan

11 APR : Gaza, Palestin akan tetap menjadi keutamaan Malaysia sambil tidak mengetepikan kepentingan negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting jika Malaysia mahu terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Sebagai sebuah negara membangun, kita telah melakukan yang terbaik, namun (ia) masih belum selesai.
“Pastikan kita dapat bersuara sebanyak mungkin tetapi kita perlu betulkan negara kita (dulu). Hentikan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pastikan kita mentadbir dengan baik dan melindungi kepentingan rakyat.
“Itulah jawapannya. Bukan jangka pendek tetapi jangka panjang,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini yang dihadiri hampir 3,000 pelajar dan petugas.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan sempat mengingatkan kelemahan negara boleh mendedahkan ia kepada eksploitasi dan menjejaskan keupayaan untuk membantu pihak lain dengan berkesan.
“Jika kita lemah, orang akan merampas kekayaan kamu, kemudian kamu ditindas dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan.
“Kami akan terus memperjuangkan isu Gaza dan melindungi kepentingan negara kita kerana tanpa kepentingan ekonomi dan kekayaan, kita tidak dapat membantu mereka.
“Sudah tentu kita boleh menyatakan sokongan dengan kuat,” katanya.
Pada program itu, Anwar ditanya sama ada sokongan teguh Malaysia terhadap Palestin menjejaskan hubungan dengan negara barat, Anwar berkata Malaysia kekal sebagai negara perdagangan dan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pelabur terbesar serta destinasi eksport utama diikuti China juga Jerman.
“Kita sudah menyuarakan rasa tidak senang dan perbezaan pandangan dalam pelbagai isu tetapi ia bukan perkara baharu.
“Malah, semasa Perang Vietnam dahulu, pemimpin pelajar kita pernah membantah terhadap apa yang kita anggap sebagai ketidakadilan.
“Adakah mereka (kuasa barat) sudah belajar? Malangnya, masih ramai yang belum,” kata Anwar.
Susulan tarif import yang dikenakan Preisden AS, Donald Trump yang mencetus ketegangan perdagangan, Anwar berkata Malaysia komited melindungi kepentingan negara sambil mengharungi cabaran ekonomi global.
Katanya, tindakan AS bercanggah dengan amalan perdagangan antarabangsa termasuk yang digariskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“AS menggesa kita agar segera menerima syarat perdagangan tertentu. Apabila kita menerima, mereka pula membatalkan syarat itu. Kita tidak beroperasi sebegitu…adakah kita bersetuju dalam semua perkara? Tidak. Adakah kita melindungi kepentingan negara? Sudah tentu.
“Saya ingin melindungi negara ini, pekerja dan keluarga kita. Apa sahaja keputusan yang dibuat perlu memenuhi kepentingan negara dan antarabangsa serta rakyat, pelabur dan industri utama, seperti semikonduktor,” katanya.
Tegasnya, Malaysia akan terus menjalin hubungan dengan AS sebagai sekutu, sahabat dan rakan dagang namun tiada ada siapa berhak menghalang negara ini daripada membina hubungan yang kukuh dengan China.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim