11 APR : Kesemua orang kenamaan di negara ini berada dalam senarai kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) pihak berkuasa.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Saya pun ada (dalam senarai TCO). Semua VIP pun ada,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Temu Anwar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar semalam yang mengatakan beliau berada dalam senarai TCO hingga panggilan telefonnya diawasi.
Naib Presiden PAS itu mendakwa ia berlaku sejak pertengahan tahun lalu.
Sementara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan tersebut,
Beliau berkata tiada keperluan untuk kerajaan mengintip pergerakan Ahmad Samsuri memandangkan pemimpin PAS itu sudah pun didampingi anggota polis sepanjang masa.