Malaysia-ASEAN cari jalan urus kesan tarif AS

12 APR : Malaysia bersama negara-negara ASEAN akan terus berusaha untuk mencari jalan bagi menguruskan kesan tarif import yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan menggunakan hubungan baik dengan AS, Eropah, China dan ASEAN.
Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN beliau sudah menghubungi negara-negara jiran ASEAN untuk bersatu dalam perkara itu.
“Ini penting kerana kita bukan bergerak sebagai Malaysia tetapi sebagai satu kekuatan (ASEAN).
“Masalah tarif yang dikenakan itu, kita harap melalui jalan-jalan perbincangan dan rundingan atas nama Malaysia, atas nama ASEAN kita dapat leraikan dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata negara anggota ASEAN bersepakat menolak tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Katanya, bagi mengatasi isu itu secara kolektif, negara-negara ASEAN akan berusaha mencapai pendirian bersama.