PM isytihar perang dengan pihak salah guna peruntukan kerajaan

12 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytihar perang terhadap sesiapa sahaja yang menyalahgunakan peruntukan kerajaan.
Katanya, tindakan mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk kesenangan diri sendiri akan melingkupkan negara.
“Itu saya isytihar perang dengan mereka kerana kalau sistem ini tidak betul, dapat hasil banyak pun dia hilang kalau masing-masing nak kaya diri sendiri.
“Dia nak berniaga, dia berniaga tetapi kalau guna kedudukan dalam kerajaan, saya tidak izinkan. Ini jadi Perdana Menteri mesti kaya. Jadi Menteri Kewangan mesti kaya. Kalau ini, akan lingkup negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI Kelantan di Pantai Irama, hari ini.
Katanya, meski ada yang menuduh isu pilih kasih dalam pendakwaan kes di mahkamah, namun beliau menegaskan perkara itu bukan tugasnya sebagai Perdana Menteri.
“Walaupun orang kata pilih kasih, itu bukan kerja saya sebab yang siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)…yang dakwa Peguam Negara dan yang putuskan adalah mahkamah.
“Saya dah lebih dua tahun jadi Perdana Menteri dan belum sekali pun bercakap dengan hakim dan campur urusan mahkamah,” katanya.