12 APR : Projek tebatan banjir di Kelantan perlu disegerakan bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda negeri itu.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses pengambilan tanah perlu dipercepatkan.
“Kita tidak sanggup melihat saban tahun Kelantan mengalami banjir tidak terkawal dengan kerajaan silih berganti.
“Justeru, saya meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Ekonomi melihat beberapa kaedah baharu baru bagi menangani isu berkenaan.
“Jika kita melihat bila banjir sampai air melimpah dan apabila kemarau, air kering kontang. Jadi ALLAH berikan kita ikhtiar dan teknologi air yang mungkin boleh disimpan ketika melimpah untuk digunakan pada musim kemarau.
“Kerajaan Pusat dengan Kelantan memang ada sedikit perbezaan namun tujuan kita adalah sama mahu mengangkat martabat negara dan negeri, justeru masalah rakyat itu mesti diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kelantan di Pantai Irama, hari ini.
Beliau berharap Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya itu akan terus bekerja demi semua termasuk rakyat di Kelantan meski berdepan gelora politik antarabangsa dan perkembangan ekonomi dunia.
“Situasi ini pasti akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada negara dan juga rakyat terbanyak termasuk di Kelantan.
“Namun usaha meneruskan projek pembangunan tidak akan terhenti melalui hubungan persaudaraan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi kemaslahatan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengumumkan sumbangan RM4 juta untuk pembinaan baharu Masjid Gong Chapa Temila, Pasir Puteh dan peruntukan sebanyak RM800,000 untuk penyiapan Masjid At-Taqwa, Mukim Beris Pak Pura, Bachok.